Skip to main content

Sujud Terakhirku

Malam rahmat. Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi Tuhan. Walaupun gemuruh hujan semakin melebat dan membasahi atap rumbia di sebuah rumah, yang kelihatannya persis sebuah pondok usang sahaja, Sang Pencinta terus khusyuk membilang biji-biji tasbih sambil bersila di atas hamparan sejadah kumal. Tasbih di jari terus dibilang-bilang. Badan sedikit berayun ke kiri dan ke kanan. Sang Pencinta khusyuk dalam ratibnya. Menginsafi kebesaran Maha Pencipta.

Wahai tuhan
Ku tak layak ke syurga-Mu
Namun tak pula
Aku sanggup ke neraka-Mu

Ampunkan dosaku
Terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun
Dosa-dosa besar.

Air mata berjuraian jatuh daripada pelupuk mata Sang Pencinta. Menginsafi dirinya yang dirasakan ternoda dengan palit-palit dosa yang dirasakan sentiasa menyubur dan bagaikan karat yang sukar untuk dikikis dari lubuk jiwanya. Kalimah Rabiatul Adawiyah, sufi wanita itu terus berlegar-legar di sekitar ratibnya. Kalimah taubat atas segala daki-daki kehidupan. Semakin banyak dia melafazkan istighfar, semakin pula dia merasakan dirinya berdosa. Berdosa kepada Tuhan Rabbul Jalil. Berdosa kepada manusia yang kerdil. Berdosa kepada sesiapa sahaja.

Qiamullail merupakan amalan kegemarannya yang tidak akan ditinggalkannya. Baginya, amalan para kekasih-Nya itu seolah-olah menjadi suatu kewajipan baginya untuk dikerjakan menyamai ibadat-ibadat fardhu yang lain. Tahajud telah memberi ketenangan jiwa kepadanya dalam menghadapi resam kehidupan di atas muka bentala yang penuh ranjau ini. Malah, bertambah subur pula kecintaannya terhadap Tuhannya yang sentiasa dikasihinya sepanjang masa.

Tuhanku,
Dalam termanggu
Ku sebut nama-Mu
Biar susah sungguh
Mengingat Kau penuh seluruh

Tuhanku
Cahaya-Mu
Panas suci bagai kerdip lilin
Dikelam sunyi

Setiap saat Sang Pencinta usahakan untuk meratib Asma-Nya. Tidak lekang di bibir, tidak mati di hati. Dia mahu meneladani sifat terpuji Rasulullah S.A.W. Baginda beristighfar sebanyak 70 kali sehari walhal baginda sudah maksum daripada segala dosa yang boleh mencacatkan pangkat kerasulannya. Setiap hari terlintas persoalan di benaknya, “Lagikan baginda yang maksum masih beristighfar memohon pengampunan dosa, apakah aku ini, hanya insan biasa yang setiap hari bergelumang dengan dosa, masih mahu berlagak takbur; ego di jazirah pinjaman-Nya?”

Tuhanku
Aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing

Tuhanku
Pintu-Mu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling

Setelah sekian lama tafakur meratib tanpa sekelumit rasa penat, pelupuk mata Sang Pencinta mula kian memberat. Seraya itu, matanya mula terpejam dalam keadaan dirinya begitu; bersila di atas sejadah sambil tasbih masih beruntaian di antara jari-jemari. Dia tertidur; fitrah kejadian manusia ciptaan-Nya yang sarat dengan kelemahan-kelemahan seorang hamba yang tidak mampu untuk ditangkis. Maka, mengapakah sebahagian manusia masih mampu untuk menyekutukan- Nya walhal fitrah kejadian pun sudah tidak mampu untuk dicabar?

Tidur orang-orang yang soleh bukanlah tidur orang-orang awam yang hanya sekadar menikmati nikmat tidur untuk menghadapi hari siang. Orang-orang soleh tidak pernah menikmati nikmat tidur dalam hidup mereka. Tidur mereka adalah tidur ibadah kerana hati mereka terus berzikir walaupun jasad mereka sudah ‘mati sementara’.

aku fana dalam gelita
meraba dalam mabuk dosa
di sahara noda –
demi mencari setitis nur
dari pohon zaitun
yang mekar dalam limpahan cahaya
minyaknya bercahaya tanpa sentuhan bara,
buat mengisi kandil sukmaku
yang zulmat oleh pekat nafsu –
dosa melingkar jiwa.

Sang Pencinta masih berada di sini. Di tempat yang asing ini. Dia terpinga-pinga. Persekitarannya kelihatan berkabus. Kelihatan kosong.
“Aku sedang berada di mana ni?”

Pancaran dari lentera makrifat
membiaskan nur ke pintu sukma –
tenggelam dalam nur wirid
kelana di jazirah rohaniah
mencari hakikat Ilahiyyah
rahsia dalam rahsia

Tatkala itu, dia melihat sebening cahaya di ufuk barat. Seraya itu, dia berjalan menuju ke arahnya dengan harapan agar dapat menemui sesuatu yang dapat merungkai persoalannya itu. Dia terus berjalan.

Menempuh lorong cahaya
yang memancar cerlang
terangkum bersama nur musyahadah
demi mencari rahsia hakikat
yang tersembunyi dalam sirr makrifat.

Semakin lama Sang Pencinta berjalan, semakin terang cahaya. Dan semakin menambahkan kehairanan di lubuk hatinya. Dia menghidu bauan kenikmatan yang tidak tergambarkan di hujung sana. Haruman yang belum pernah dikecapnya sewaktu melangsungkan kehidupan sebagai khalifah di muka bumi-Nya.
“Subhanallah!”
Matanya terbuntang luas. Dia terlihat suatu pemandangan yang tidak pernah terjangkau dalam fikirannya. Pemandangan yang amat menakjubkannya. Terbentang di hadapan matanya, pepohon nan rendang yang mekar ranum lagi mengeluarkan bau-bauan yang mengharum. Dia juga melihat sungai-sungai yang mengalir jernih; tenang yang mengalirkan air madu, susu dan arak.

Malah, taman itu sentiasa disinari kilau-kemilau emas dan permata yang sentiasa bercahaya memancarkan mutunya yang amat tinggi. Keindahan taman itu juga terserlah dengan diwarnai haruman-haruman mengasyikkan, yang tidak pernah terhidu oleh Sang Pencinta selama ini. Dia terpempam melihat keindahan itu. Hijab telah terungkai dengan izin-Nya. “Apakah ini merupakan syurga seperti yang dijanjikan oleh Tuhanku itu? Jika benar, sesungguhnya kekuasaan-Mu Maha Agung, ya Rabb”

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadapi Tuhannya ada dua syurga (tersedia baginya). Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan? (Di dalam kedua-duanya) ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Di dalam syurga itu ada berbagai jenis buah-buahan yang berpasangan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Mereka berbaring di atas permaidani yang sebelah dalamnya dari sutera tebal. Buah-buahan dua syurga itu mudah dipetik. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Di dalam syurga itu ada gadis-gadis yang sopan dan suci. Mereka tidak pernah disentuh sebelumnya oleh manusia dan jin. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan? Mereka laksana permata delima dan marjan. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan? Balasan bagi perbuatan baik, kebaikan juga. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Dan selain dari dua syurga itu ada lagi. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Tumbuh-tumbuhannya hijau tua warnanya(sedap dipandang mata). Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Di dalam dua syurga itu memancar mata air. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan? Di dalam syurga itu ada bermacam-macam buah-buahan, kurma dan delima. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Lantas, Sang Pencinta terus melakukan sujud syukur di situ sebagai mensyukuri nikmat Ilahi yang telah terhampar luas di hadapan matanya kini. “Wajahku bersujud ke hadirat Yang Menciptakannya, merupakannya, melengkapi pendengaran dan penglihatannya, dengan upaya dan kekuatan-Nya, Maha Suci Allah sebagus-bagus pencipta.”

Sang Pencinta bangun dari sujudnya dan mula mahu menapak ke sana kerana ingin menikmati segala macam kelazatan yang terhimpun di taman itu. Namun tiba-tiba dia ditegur satu suara: “Belum sampai masanya untuk engkau menikmati semua itu. Di situ adalah tempat kenikmatan bagi hamba-hamba- Ku yang bertakwa sebagai kehidupan abadi sesudah menempuh perih kehidupan di alam syahadah demi menegakkan agama-Ku”

Dia berhenti melangkah. Dirinya mula dibibit perasaan rindu dendam yang berkobar-kobar kerana ingin segera menikmati kesenangan yang melimpah ruah di taman sana. Tiba-tiba, persekitaran menjadi berkabus; menelan taman itu. Keadaan menjadi semakin kabur, dan terus kabur. Sang Pencinta bingung dengan kejadian itu. Dan kabus terus menenggelami taman syurga itu. Dia kini berada dalam ruang kabus yang pengap; padat. Seinci pun ruang matanya tidak dapat menjangkau sesuatu melainkan hanya kabus semata-mata. Namun, persekitaran kabus mulai beransur surut. Dia terus berjalan tanpa arah yang tetap. Berharap agar dia dapat keluar dari jazirah kabus yang melemaskannya itu.

Kabus mula menipis. Suasana kini telah berubah sama sekali. Jika sebelum ini dia melihat kenikmatan yang tiada terperi, sekarang dia melihat keazaban yang amat pedih sekali. Sungguh meruntun tangkai hati. Sesuatu yang dirasakan tidak kedapatan di atas duniawi yang fana itu. “Astaghfirullahal a’zim. Apakah ini yang dinamakan neraka, tempat seksaan pedih seperti yang Tuhanku janjikan bagi hamba-hamba- Nya yang engkar kepada-Nya? Masya-Allah. Sesungguhnya Engkaulah Maha Menepati janji.”

Lantas, di kala itu jua Sang Pencinta pengsan tidak sedarkan diri kerana tidak dapat membendung perasaanya yang dilanda ketakutan yang teramat sangat. Tidak sanggup melihat seksaan dan lolongan kesakitan yang bertali arus tanpa sesaat pun menyepi.

Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak. Serta naungan dari asap hitam. Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan. Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan). Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar. Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula? Dan adakah juga datuk nenek kita yang lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)?” Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian, tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan – pada hari kiamat yang termaklum.

Kemudian sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, maka kamu akan akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, iaitu kamu akan meminum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”. Itulah (jenis-jenis) azab yang disediakan untuk menyambut mereka pada Hari Pembalasan itu.

Hujan sudah mulai surut. Malam mula menjadi hening semula setelah hujan mewarnai dinihari. Hanya bunyi katak yang saling sahut-bersahutan. Ia merupakan makhluk Tuhan yang amat sinonim dengan situasi hujan.Segala puji bagi Allah yang menciptakan makhuk-Nya dengan penuh variasi. Subhanallah.

Sang Pencinta membuka kelopak matanya dengan pantas. Didapati dirinya berada dalam keadaan terbaring menyimpang daripada sebelum menempuh ‘kembara anehnya’ itu iaitu dia tertidur dalam keadaan duduk bersila. Lantas dia bangkit secara mengejut seraya mengucapkan istighfar.

“Astaghfirullahal a’zim. Tuhanku telah bentangkan hijab-Nya demi menitip nur keinsafan untuk jadikan pedoman. Subhanallah.” Dia sentiasa berbaik sangka atas segala perkara yang berlaku ke atas dirinya. Dia sentiasa berusaha menyucikan hatinya agar sukmanya itu sentiasa bersemi bunga-bunga mahabbah kepada yang Maha Esa.

“Ya Rabb, pemegang kerajaan langit dan bumi. Pemilik jannah dan jahanam. Tempatkanlah daku ke dalam syurga-Mu yang diisi segala keindahan dan kecantikan itu bersama-sama para anbiya dan wali-Mu”

“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku kebaikan di dunia dan di akhirat, serta peliharalah diriku daripada azab seksaan api neraka. Amin”

Doa itu dimunajatkan beserta linangan air mata yang mengalir laju. Sang Pencinta tenggelam dalam sendu taubat. Doa itu dipanjatkan dengan sepenuh keikhlasan dan kekhusyukan sebagai seorang hamba yang memohon sepenuh pengharapan kepada tuannya.

Allahuakbar Allahuakbar….

Azan Subuh mula berkumandang. Kalimah tayyibah yang dilaungkan sebagai peringatan kepada umat Islam agar tidak leka mengejar duniawi tanpa mengabaikan hak-hak ukhrawi dilaungkan dengan irama Arabiyyah yang terasa menusuk ke kalbu lantas meruntuhkan tembok bongkak yang bersemi di ufuk jiwa dan melentur keinsafan diri agar mengakar menjadi kekal.

Cahaya fajar yang membasahi buana,
membingkis selaksa rindu,yang membarahi jiwa,
terkenang kekasih yang dicinta, saat bersama
memadu kasih; asyik dalam buaian asmara –
ketika bulan mengutus malam tenang.

Sang Pencinta bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah, suatu amalan yang amat disukai oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Dia memakai wangi-wangian yang harum kerana bau-bauan itu amat disenangi oleh para malaikat. Saat dia turun daripada pondoknya itu, dia berasakan dirinya mendapat suatu ‘alamat’ dari langit. Dia tersenyum. Impiannya selama ini akan tercapai jua akhirnya.

Dia menuju ke masjid kampung itu dengan hanya berjalan kaki kerana mashjid itu tidaklah jauh sangat jaraknya dari rumahnya. Zikrullah tidak pernah lekang meniti di bibirnya. Sampai sahaja di masjid, dia terus menunaikan solat sunat qabliyah Subuh. Usai dia mengerjakan solat sunat itu, muazzin terus melaungkan iqamat tanda solat fardu Subuh akan segera dikerjakan. Menyimpang dari kebiasaannya, kali ini dia memilih saf yang paling belakang sekali untuk mengerjakan solat Subuh. Kebiasaannya, dia akan memilih saf yang paling hadapan dan berada di belakang imam.

Saat imam mula mengangkat takbir, dia turut menyertainya dengan hati yang penuh khusyuk beribadah kepada-Nya.

Seusai Imam Mutalib meratib al-Mathurat, para jemaah pun pulang ke rumah masing-masing. “Pak Imam, cuba tengok ni”. Imam Mutalib yang masih berzikir menoleh ke belakang ketika mendengar suara Bilal Musa. Dia merasa pelik apabila terlihat seorang jemaah masih bersujud walaupun solat Subuh telah usai dilaksanakan. Imam Mutalib terus bangun dan melangkah ke arah jemaah itu.

Dia curiga melihat keadaan jemaah itu. Dengan lembut dia memegang kedua-dua belah bahu jemaah itu. Dengan tidak disangka-sangka, jemaah itu rebah ke sebelah kanan. Innalilahi wainna ilaihi roji’un. Sang Pencinta telah pulang ke pangkuan-Nya, ‘kekasih’ yang amat didambakan sekian lama untuk ketemu. Wajahnya yang persih dan bercahaya kerana sentiasa dibasahi dengan air wuduk itu kelihatan tersenyum seolah-olah menafsirkan bahawa dia berbahagia dengan kehidupan di alam sana.

“Demi masa!
Sesunggunya manusia itu kerugian.
Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran,
serta berpesan-pesan dengan kesabaran”

Comments

Popular posts from this blog

Amiru

Kisah Masyitah

Fir’aun, raja zalim yang memerintah Mesir ribuan tahun lalu, mengaku dirinya Tuhan. Dia meminta setiap rakyatnya mengakui dan menyembahnya. Mereka yang ingkar dibunuh. Seorang sahabat baiknya yang juga penjaga perbendaharaan negara, Hazaqil, tidak setuju Fir’aun mengakui dirinya Tuhan. Pada suatu hari, ketika Fir’aun menjatuhkan hukuman mati ke atas 40 orang ahli sihir yang telah beriman kepada Allah, Hazaqil sangat tidak setuju. Hazaqil menghadap Fir’aun dan membantah hukuman itu. “Tuanku, patik tidak setuju dengan hukuman mati ke atas 40 ahli sihir itu. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara kita ini,” Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Fir’aun. “Mereka dihukum mati kerana tidak mengakui beta sebagai Tuhan mereka!” tegas Fir’aun dengan nada marah, sambil menambah: “Kalau kamu mempertahankan nasib ahli-ahli sihir itu, itu bermakna kamu juga seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah.” Fir’aun mula berfikir mengapa